Thursday, July 19, 2012

Artikel Kalendar Hijrah


ASAS-ASAS SYARIE DAN KAEDAH PENETAPAN TAQWIM HIJRIAH DI MALAYSIA

Dr. Azhari bin Mohamed
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam’
                                                                                                                    
                                                                          Surah al-Faatihah Ayat 2

Ayat di dalam surah pembukaan Al-Quran ini menarik perhatian manusia kepada Allah dan segala apa jua penciptaanNya. Sebagai orang Islam, kita seharusnya merasa terpanggil untuk menerokai alam buana ini, sekurang-kurangnya untuk menimbulkan rasa keinsafan di atas kekerdilan kita dan sehebat-hebatnya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu wa Taala.

‘Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan? Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu’
                                                                                                    Surah adz-Dzaariyaat Ayat 20-22

Sebenarnya minat kepada alam semesta telah lama bermula sejak wujudnya manusia diatas muka bumi, hasil dari rasa kagum dan ingin tahu terhadap kejadian-kejadian yang berlaku di langit dan perubahan-perubahan dalam alam. Mutakhir ini menyaksikan minat yang tinggi didalam bidang falak. Perkembangan ini berhubung kait dengan sains teknologi dan penerokaan angkasa lepas.

Sejajar dengan kedatangan Islam serta pengembangan wilayah takluknya, maklumat-maklumat berkaitan dengan perlakuan ibadat, aktiviti ekonomi dan sosial, lokasi geografi, perhubungan dan kemasyarakatan amat diperlukan. Ini lebih-lebih lagi dari segi penentuan hala kiblat, perhitungan waktu solat, penetapan tarikh bulan hijri serta penyediaan pandu arah perjalanan bagi tujuan dakwah, perdagangan, politik dan pentadbiran urusan manusia sehari-hari.

‘Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui’
                                                                                                                      Surah al-An’Aam Ayat 97


2.0    Sistem Bumi-Bulan-Matahari

"Dan Dia lah yang menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.
                                          - Surah Al Anbiyaa' Ayat 33

Hubungan di antara Ilmu Falak dan penentuan awal bulan hijrah sudah tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia. Ianya amat penting dalam membentuk Takwim Hijriah dan seterusnya menentukan tarikh-tarikh penting di dalam Islam seperti Ramadhan, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Asas astronomi bagi Takwim Hijriah adalah berdasarkan sistem qamariyyah di mana ianya berpandukan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.   

Bulan mempunyai saiz yang paling kecil berbanding dengan jasad matahari dan bumi. Ia berbentuk bulat atau sepiar seperti bola dan jelas kelihatan pada waktu malam. Bulan beredar mengelilingi bumi pada orbitnya yang mengakibatkan terbentuknya bilangan bulan. Manakala bumi pula berputar di paksinya yang membentuk Gerakan Harian (Diurnal) sambil bergerak mengelilingi matahari dan terjadinya Gerakan tahunan (Annual).

·         Gerakan Harian (Diurnal)

Gerakan Harian ialah putaran bumi pada paksinya dari barat ke timur. Ia mengambil masa selama 24 jam bagi satu putaran genap. Gerakan harian ini menyebabkan terjadinya fenomena siang dan malam. Bahagian bumi yang mengadap ke matahari akan mengalami siang manakala bahagian yang terlindung akan mengalami malam. Tempoh waktu siang dan malam pada sesuatu tempat adalah bergantung kepada garislintang (latitud) tempat tersebut. Bagi tempat-tempat yang berada di kawasan Katulistiwa (latitud 0°), tempoh waktu siang dan malamnya hampir sama. Putaran bumi juga menyebabkan terjadinya matahari terbit dan terbenam.


·         Gerakan tahunan (Annual)

Bumi beredar mengelilingi matahari di atas orbitnya dalam tempoh masa lebih kurang 365 hari iaitu satu tahun. Ini dikenali sebagai Gerakan Tahunan (Annnual). Bumi beredar mengelilingi matahari pada arah berlawanan jam dan orbitnya berbentuk eliptik (membujur). Oleh itu jarak antara bumi dan matahari berubah-ubah semasa peredarannya. Jarak paling dekat sekali (matahari-bumi) dikenali sebagai Perihelion dan jarak paling jauh sekali (matahari-bumi) dipanggil Aphelion. Kesan daripada kecondongan paksi bumi terhadap satah orbit bumi mengelilingi matahari iaitu sebanyak 66.5° menyebabkan lahirnya empat musim iaitu musim panas , gugur, sejuk, dan bunga. Bagi kawasan-kawasan yang berada di latitud yang tinggi iaitu samaada bahagian atas atau bawah dari kawasan katulistiwa. Sekiranya di hemisfera utara mengalami musim panas, maka di hemisfera selatan pula akan mengalami musim sejuk.

·         Peredaran Bulan

‘Dan Kami telah tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah sehingga (setelah dia sampai kemanzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar  pada garis edarnya ’
                                                          -  Surah Yasin ayat: 39-40

Bulan adalah satu badan cakerawala berbentuk bulat atau sepiar, beredar mengelilingi bumi dari arah barat ke timur. Bulan mengambil masa selama 27.32 hari bagi melengkapi satu pusingan mengelilingi bumi yang mana ianya dipanggil bulan sideris (sidereal). Manakala tempoh waktu yang diambil oleh

bulan untuk melengkapkan pusingan dengan bumi beserta matahari (matahari, bulan dan bumi berkedudukan di atas longitud yang sama) ialah selama 29.53059 hari dan dipanggil bulan sinodis (synodic) atau dikenali juga sebagai satu bulan ijtimak. Tempoh satu bulan ijtimak tidak sentiasa sama (29.53059 hari) di sebabkan pengaruh tarikan planet-planet di sekeliling.



·           Fasa-Fasa Bulan

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: 'Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji …."
                                               - Surah Al Baqarah Ayat 189




 
Fasa bulan ialah peringkat perubahan bentuk bulan yang bercahaya sepanjang pusingannya di orbitnya mengelilingi bumi iaitu sebulan ijtimak. Oleh kerana bumi beredar mengelilingi matahari di satah ekliptik, maka kedudukan bumi relatif dengan kedudukan bulan dan matahari sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini mengakibatkan permukaan bulan yang bercahaya dilihat dari bumi dalam keadaan yang berbeza-beza bentuk. Akibatnya terjadilah fasa-fasa bulan.
         
Dalam tempoh peredaran bulan, wujud empat fasa utama bulan yang dapat dilihat dari bumi:
         
*             Fasa Pertama        :        Ijtimak (bulan gelap) dan hilal
*             Fasa kedua           :        Bulan pada suku pertama
*             Fasa Ketiga           :        Bulan pada suku kedua (bulan purnama)
*             Fasa Keempat       :        Bulan pada suku ketiga

·         Ijtimak (conjunction)

Ijtimak dikatakan berlaku apabila bumi, bulan dan matahari berada didalam longitud yang sama, iaitu ketiga-tiga jasad tersebut berkesedudukan didalam satu garisan. Akibat daripada penyusunan ini, bulan akan membelakangi matahari. Bayang bulan akan terhasil dan sekiranya ia jatuh keatas permukaan bumi, maka terjadilah gerhana matahari.

·         Bulan Baru (astronomical new moon)

     Bulan baru terhasil ketika ijtimak berlaku. Bagi kaum Cina, ia menandakan permulaan atau hari pertama dalam bulan baru. Bulan baru mustahil untuk dilihat dari bumi kerana kedudukannya itu tidak memungkinkan ia untuk

mamantunkan cahaya matahari. Oleh kerana itu, bulan baru tidak boleh dilihat, kecuali ketika gerhana matahari.
·         Hilal, Anak Bulan atau Bulan Sabit (moon crescent)

Selepas sahaja ijtimak berlaku, maka bulan akan terus beredar mengelilingi bumi. Dalam masa yang sama, bumi pula berputar pada paksinya. Oleh kerana putaran bumi adalah lebih laju daripada peredaran bulan, maka bulan akan segera terbenam diufuk barat pencerap. Hilal atau anak bulan atau bulan sabit hanya akan terbentuk dan wujud selepas bulan itu keluar daripada garisan ijtimaknya dan berada di kedudukan yang membenarkan ia memantunkan cahaya matahari kepada pencerap di bumi. Justeru, bagi pencerap dibumi, hilal adalah kenampakan pertama lengkuk cahaya tersebut. Bagi umat Islam, apabila hilal telah kelihatan, ia menandakan permulaan atau hari pertama dalam bulan baru.

·         Jarak Lengkung Bulan Matahari

Jarak lengkung merupakan salah satu daripada nilai yang penting bagi Kriteria Imkanurukyah. Ia adalah jarak sudut yang dihitung dari titik tengah bulan hingga ke titik pertemuan antara ufuk dengan piring matahari ketika maghrib.

·         Tinggi Hilal

Ketinggian hilal yang juga disebut sebagai altitud adalah jarak sudut yang diukur dari ufuk hingga ke titik tengah hilal.

·         Umur Hilal

Tempoh masa diantara waktu ijtimak dengan waktu hilal terbenam dinamakan umur hilal. Lagi lama tempoh ini, maka lagi tinggi peluang untuk melihat hilal. Ini adalah kerana bulan telah jauh meninggalkan garisan ijtimak tersebut. Geometri kedudukannya adalah semakin besar secara relatif kepada matahari dan bumi. Bentuk dan ketebalan cahaya hilal bergantung keatas geometri ini.


3.0    Takwim

"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran Nya) kepada orang-orang yang mengetahui"
                                                                                            Surah Yunus Ayat 5-6

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau satu sistem susunan masa. Taqwim membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari.

Takwim memainkan peranan yang amat penting didalam kehidupan manusia sejak berzaman lagi.

‘Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran’
                                                                                               
Surah Al-‘Asyr ayat 1 - 3


Ia boleh diibaratkan sebagai satu time planning mechanism yang bersifat a self correcting system dan berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan mereka seharian, termasuklah amalan-amalan ketamadunan dan keagamaan. Justeru, manusia menggunakan Takwim bagi merancang, mengurus, mengatur, mentadbir dan melaksanakan aktiviti-aktiviti hariannya, termasuklah perlakuan ibadat keagamaan, perayaan, kebudayaan, pertanian dan sebagainya.


3.1    Takwim Islam dan Kalendar Miladiah

Hubungan di antara penentuan awal bulan hijriah dengan ilmu falak syarie sudah tidak asing lagi bagi umat Islam. Ianya amat penting dalam membentuk Takwim dan seterusnya untuk menentukan tarikh-tarikh penting seperti awal Ramadhan, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Asas astronomi bagi Takwim Islam iaitu Takwim Hijriah adalah berdasarkan sistem qamariyyah di mana ianya berpandukan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

 ‘Mereka itu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang bulan sabit katakanlah, bulan sabit itu tanda-tanda waktu bagi orang-orang puasa, raya puasa dan waktu-waktu ibadah dan berhaji’
                      Surah Al-Baqarah: 189

Menurut ilmu astronomi, perkiraan bulan baru dikatakan bermula ketika berlakunya waktu ijtimak, sementara menurut ilmu falak syarie, perkiraan awal bulan baru Hijriah dikira bermula selepas peristiwa ijtimak dengan ‘terlihatnya’ hilal di ufuk barat selepas matahari terbenam.

"Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu kami hapuskan tanda malam dan kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah kami terangkan dengan jelas."
                                                                                          Surah Al Israk Ayat 12

Apabila hendak membangunkan sesebuah Takwim, ianya boleh di asaskan sama ada kepada kedudukan bulan (seperti Takwim Hijriah) atau matahari (Kalendar Miladiah) atau kedua-duanya sekali (Kalendar Cina dan Hebrew).

Jadual-jadual berikut menyenaraikan ciri-ciri persamaan dan perbezaan diantara Taqwim Islam dan Kalendar Miladiah:



Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Ciri-Ciri Umum
     berasas kepada peredaran bulan mengelilingi bumi
     mula diperkenalkan pada tahun 638 Miladiah oleh Saidina Umar ibn Al-Khattab
     bersempena dengan penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah ke Kota Madinah dalam bulan September 622M
     1 Muharram 1H = 16 Julai 622M
     tahun baru disambut selepas 12 kali kenampakan hilal

Ciri-Ciri Umum
     berasaskan kepada peredaran bumi mengelilingi matahari
     berasal daripada Kalendar Julian (Julius Caesar) yang diperkenalkan sejak tahun 45BC
     hanya mula digunakan secara resmi sejak Mac 1582M setelah melalui pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII pada tahun 1545M
     tahun baru disambut selepas 1 peredaran bumi mengelilingi matahari


Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram….
                Surah At-Taubah Ayat 36

‘Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (sesuatu bulan kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran: kerana mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain pula, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang dihormati yang empat) yang telah diharamkan oleh Allah (berperang di dalamnya), dan menjadikan yang haram itu sebagai halal. . . .
                                                                                                    Surah at-Taubah Ayat 37



Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Bulan
     1 tahun mempunyai 12 bulan (Muharram, Safar, R’awal, R’akhir, J’awal, J’akhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Z’kaedah, dan Z’hijjah)
     bulan Ramadan penghulu bulan
     tiada ‘intercalation’ atau penambahan bilangan bulan
     awal bulan bermula keesokkan harinya dengan ‘kebolehnampakan’ hilal pada waktu maghrib hari ke-29, sekiranya tidak ia akan bermula hari lusa

Bulan
     1 tahun mempunyai 12 bulan
(Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember)
     tiada ‘intercalation’ atau penambahan bilangan bulan
     awal bulan baru bermula secara tetap, iaitu apabila bilangan hari dalam bulan lepas telah cukup





‘Sesungguhnya kami umat yang ummi tidak tahu menulis dan tidak tahu mengira, sebulan adalah seperti ini dan seperti ini; yakni sekali 29 (hari) dan sekali 30 (hari)’                                                              
                                    Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


‘… barangsiapa diantara kamu hadir (dinegeri tempat tinggalnya) dibulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu ….’
                Surah Al-Baqarah Ayat 185


‘Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga puloh’                                                  
                                    Hadis riwayat Bukhari dan Muslim




Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Hari
     bermula hampir 6 jam lebih awal dari hari Miladiah
     bermula dari dan berakhir pada waktu matahari terbenam
     kitaran hari = 24 jam ± 1 minit
     Hari Jumaat penghulu hari
     malam kepunyaan hari siang esoknya (hari Khamis, malam Jumaat)
     mempunyai 354/355 (354.36 hari) didalam setahun
     bilangan hari dalam bulan tidak semestinya sama dari tahun ketahun
     29/30 hari (29.53 hari); 1 tahun = 354/355 hari = 12 bulan (354.36 hari)
     hari kebesaran dirayakan dalam musim yang berlainan (1 pusingan=33 tahun M)

Hari
     bermula lewat dari hari Islam
     bermula dari dan berakhir pada waktu tengah malam
     kitaran hari = 24 jam
     Hari Ahad hari rehat
     malam kepunyaan hari siang (hari Khamis, malam Khamis)
     bilangan hari dalam bulan adalah tetap dari tahun ketahun
     penambahan 1 hari dalam bulan Februari pada tahun lompat
     mempunyai 365/366 (365.242 hari) didalam setahun
     28/29/30/31 hari - diagih dari 365/366 hari (tahun matahari)
     tahun lompat setiap 4 tahun dan kurun lompat setiap 400 tahun
     hari-hari penting disambut didalam musim yang sama



"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran Nya) kepada orang-orang yang mengetahui"

                                                            Surah Yunus Ayat 5


Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), dibawah pengawasan Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan berperanan menyediakan Taqwim Islam Malaysia (TIM) untuk kegunaan resmi rakyat di negara ini. JUPEM adalah agensi yang dipertanggungjawab menyediakan data-data teknikal dalam penyediaan Taqwim Islam Malaysia untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Setiap tahun operasi penyediaan Takwim Islam Malaysia oleh JUPEM akan melalui beberapa peringkat dimana setiap satunya akan disahkan oleh Jawatan Kuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pusat Islam Malaysia.


3.2    Kaitan Antara Takwim Islam dan Kalendar Miladiah

Didalam Al-Quran, terdapat satu surah yang memberi pertalian atau kaitan diantara tahun Islam/Hijriah dan tahun Miladiah. Surah yang dimaksudkan itu berbunyi:

‘ Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).’
Surah Al Kahfi ayat 25.


Dari ayat diatas, jelas diceritakan bahawa jumlah bilangan tahun pemuda-pemuda Ashhabul Kahfi tidur didalam gua ialah (300 + 9 ) tahun atau 309 tahun. Bagaimanapun, oleh kerana ketika itu, kalendar Miladiah masih belum digunakan secara meluas diseluruh dunia (lihat para 2.1), maka kita boleh rumuskan disini

bahawa tentulah sistem tahun yang dimaksudkan didalam surah diatas adalah sistem tahun Islam (taqwim Hijriah hanya digunakan selepas 16 tahun penghijrahan Rasulullah SAW).

Berdasarkan hadis Nabi dan juga ayat Al-Quran (rujuk para 2.1), bilangan 309 tahun ini boleh ditukarkan kepada bilangan hari dalam sistem tahun Islam melalui perkiraan berikut:

         Bilangan hari dalam tahun Islam   
                                       = (Bilangan hari dalam bulan Islam) x (Bilangan
                                         bulan dalam tahun Islam)
                                       = ( 29.5 hari x 12 bulan )
                                       = 354 hari

Oleh itu, secara puratanya, jumlah bilangan hari dalam satu tahun Hijriah adalah sebanyak 354 hari. Dari jumlah ini, kita dapat menghitung jumlah bilangan hari pemuda-pemuda Ashhabul Kahfi berada didalam gua:

         Jumlah bilangan hari  = 309 tahun x (Bilangan hari dalam tahun Hijriah)
                                       = 309 x 354 hari
                                       = 109,386 hari

Bilangan 109,386 ini adalah merupakan jumlah hari dalam 309 tahun dalam sistem kalendar Islam atau Taqwim Hijriah. Persoalannya, mengapakah ayat 25 Surah Al Kahfi menyebut ‘ … tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun …’.  Mengapakah tidak disebut 309 tahun sahaja? Adakah 300 tahun itu berasaskan sistem kalendar yang lain?

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, kita boleh cuba bahagikan jumlah bilangan 109,386 hari dengan 300 tahun untuk mengetahui berapakah bilangan hari dalam setahun berdasarkan sistem tersebut.

         Jumlah bilangan hari dalam setahun
                                       = (109,386 hari) ¸ (300 tahun)
                                       = 364.62
                                       » 365 hari

Angka 365 hari setahun ini sebenarnya merupakan jumlah hari yang diambil oleh bumi untuk mengelilingi matahari (angka sebenar adalah 365.242 hari). Angka inilah yang digunakan sebagai asas kepada pembentukan sistem kalendar matahari atau disebut kalendar Miladiah.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan disini bahawa berdasarkan nas-nas Al-Quran dan hadis, secara puratanya bilangan hari dalam Taqwim Hijriah adalah 354 hari dan bilangan hari dalam Kalendar Miladiah adalah 365 hari, seterusnya memberikan perbezaan diantara kedua-duanya sebanyak 11 hari. Dan semua fakta-fakta saintifik ini telah pun dinyata dan diterangkan didalam Al-Quran melalui surah Al Kahfi lebih 1400 tahun dahulu!

‘ Katakanlah: ‘Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); kepunyaanNya lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi ….. ’
Surah Al Kahfi ayat 26.


Wallahualam bissawab.


3.3    Jenis-jenis Takwim Islam

Walaupun pada asasnya Takwim Hijrah berdasarkan kepada peredaran bulan,

tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim, bergantung kepada tujuan pemakaian dan keadaan masa. Pelbagai peringkat takwim telah di bentuk dan digunapakai di Malaysia sehingga kini seperti:

·         Takwim Istilahi

Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli diantara 30 dan 29 hari untuk menjadikan 354 hari setahun.

·         Takwim Ijtimak Hakiki

Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan Hijriah dikira berpandukan selepas berlakunya ijtimak hakiki. Sekiranya ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam pada hari yang ke-29 bulan Hijriah, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira sebagai awal bulan Hijriah yang baru atau dengan lain perkataan, esoknya adalah 1 haribulan. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenamnya matahari pada hari tersebut, maka keesokan harinya dijadikan 30 haribulan.
                  
·         Takwim Ijtimak Wujudul Hilal

Takwim jenis ini juga berdasarkan sistem ijtimak bumi-bulan-matahari. Bagaimanapun, penentuan awal bulannya bergantung kepada samada hilal itu wujud atau tidak di atas ufuk pada saat matahari terbenam pada hari ke-29 bulan Hijriah. Sekiranya hilal itu wujud, maka bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru atau 1 haribulan itu dikira. Begitulah sebaliknya dan takwim ini digunakan di Malaysia sebelum 1996 bagi penentuan awal 10 bulan selain Ramadan dan Syawal.

·         Takwim Imkanur Rukyah

Takwim Imkanur Rukyah pula terbentuk bila mana penentuan bagi setiap awal bulan Hijriah dibuat berdasarkan ketetapan kriteria Imkanur Rukyah yang tertentu. Takwim ini digunakan di Malaysia bagi kesemua bulan Hijriah sejak 1996 berdasarkan kriteria yang telah dipersetujui dalam tahun 1991.


4.0    Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijrah

Di Malaysia, penentuan awal bulan hijrah melibatkan dua kaedah iaitu:

i.        Penentuan secara falak (hisab)
ii.             Penentuan secara rukyah (melihat)

Kedua-dua kaedah ini berhubungkait di antara satu sama lain di dalam urusan penentuan awal bulan hijriah di Malaysia. Setiap awal bulan ditentukan dengan terlihatnya hilal selepas berlakunya ijtimak iaitu apabila bulan, bumi dan matahari berada di garisan atau longitud yang sama. Bilangan hari pula dikira dari kedudukan ini sehingga bulan kembali ke kedudukan ijtimak seterusnya iaitu selama 29.53 hari.

Menurut astronomi moden, perkiraan bulan baru adalah bermula ketika berlakunya waktu ijtimak,  sementara  menurut ilmu falak syarie, perkiraan awal bulan baru Hijrah bermula selepas peristiwa ijtimak dan hilal dikira berada di ufuk barat ketika matahari terbenam. Oleh itu, berlakulah perbezaan diantara tahun Hijrah dengan tahun Miladiah sebanyak 10 atau 11 hari.



Konsep paling asas sekali didalam penentuan awal bulan Hijriah di Malaysia adalah mengkaji sifat bulan pada penghujung petang hari yang ke-29 bulan Hijriah, dengan mengambilkira:



i.              Dua faktor konfigurasi bulan, iaitu:

·         Ketinggian hilal, iaitu jarak sudut dari ufuk ke pusat bulan, dan
·         Jarak lengkung, iaitu jarak sudut dari piring matahari ke pusat bulan.




ii.              Satu faktor kematangan bulan, iaitu:

·         Umur bulan, iaitu tempoh masa dari waktu ijtimak sehingga bulan terbenam.



Jika sekiranya sifat bulan pada penghujung petang hari yang ke-29 mengikut hitungan membenarkan kebolehnampakan hilal, maka tarikh keesokkannya menjadi 1 haribulan. Jika keadaan berlaku sebaliknya, maka keesokkannya adalah 30 haribulan. Sifat bulan ini boleh ditentukan berdasarkan kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah.


4.1    Kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah

Bulan Hijrah bermula pada waktu maghrib (matahari terbenam) hari 'terlihatnya' hilal. Kecanggihan teknologi dan perkiraan sekarang memungkinkan kita untuk membuat perkiraan tentang kedudukan bulan dengan tepat. Bagaimanapun, samada hilal boleh dilihat di sesuatu lokasi atau tidak agak sukar untuk dijangkakan.

Kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan cuaca, ketinggian bulan ketika maghrib, jarak lengkung bulan-matahari ketika maghrib, tempoh masa antara matahari terbenam dan bulan terbenam, pencemaran udara, peralatan optik, pencerap dan sebagainya. Oleh itu, kaedah ketetapan kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan hilal) yang mengambilkira faktor-faktor tersebut digunakan bagi menentukan permulaan bulan Hijriah. Kriteria ini boleh disesuaikan berdasarkan laporan-laporan rukyah yang dibuat dari masa kesemasa.

Kriteria Imkanur Rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan ketetapan:

·         Ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam.
·         Jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam.

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima pakai Deklirasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif:

·         Umur bulan tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.

Pada 1 Jun 1992, bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersepakat untuk mengubahsuai Kaedah Imkanur Rukyah yang sedia ada.

Kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah adalah:

Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku 29 haribulan Hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu syarat-syarat berikut :

§  Di ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung 3°  atau

§  Di ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku).

Kaedah Imkanur Rukyah ini pada mulanya diguna bagi penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain secara kaedah Wujudul Hilal. Pada tahun 1996, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Malaysia telah menetapkan penggunaan kaedah Imkanur Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam perlaksanaan Takwim Islam Malaysia. Secara ringkasnya, sejarah

evolusi kriteria tersebut adalah seperti berikut:


 


Kriteria Imkanur Rukyah dan Tahun

 

SIFAT BULAN


Ketika Matahari terbenam
Ketika bulan terbenam

Ketinggian
Jarak Lengkung

Umur Bulan
KIR78
5°
8°
-
KIR84
5°
8°
8 jam
KIR91
2°
3°
8 jam



 







Mekanisme Penetapan Awal Bulan Hijriah di Malaysia

Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan telah ditubuhkan di akhir tahun 80an. Ianya terletak di bawah Jawatankuasa Induk Penetapan Puasa dan Hari Raya yang dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana dahulunya dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa Induk ini ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 14 Disember 1989. JUPEM merupakan salah satu anggota Ahli Jawatakuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan. Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) dilantik setiap 2 tahun sekali di mana ada yang dilantik melalui jabatan dan ada yang dilantik secara perseorangan. Ianya adalah terdiri daripada pegawai berugama Islam dari agensi-agensi yang teribat secara langsung di bidang ini.

Semasa Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) kali pertama yang diadakan di Bandar Seri Begawan pada tahun 1989, ketetapan telah dibuat untuk mengadakan penyelarasan dalam penyediaan taqwim Hijrah di kalangan negara-negara anggota.

Pada tahun 1992 bertempat di Labuan, MABIMS telah bersepakat bahawa penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah di kalangan negara-negara anggota dibuat berdasarkan rukyah dan hisab dengan mengguna kaedah Imkanur Rukyah, manakala bulan-bulan yang lain dengan kaedah Wujudul Hilal (secara hisab) sebelum maghrib.

Dalam tahun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 telah berkenan supaya Malaysia merayakan Aidil Adha pada 10 Zulhijjah dan tidak lagi mengikut sebagaimana ketetapan sehari selepas hari Wukuf di Padang Arafah.

Manakala pada tahun 1996, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah mengesyorkan kaedah Imkanur Rukyah agar diperluaskan bagi penentuan kesemua bulan-bulan Hijriah sebagai asas kepada Takwim Islam Malaysia. Justeru, mulai tahun 1996, kesemua bulan-bulan Hijriah ditentukan melalui ketetapan kriteria Imkanur-Rukyah.


4.3    Kronologi Penetapan Awal Bulan Hijriah

Secara ringkasnya, sejarah penetapan awal bulan Hijriah adalah seperti berikut:

1972 – 1977:
     Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menetapkan bahawa permulaan puasa dan hari raya puasa berdasarkan Rukyah dan hisab falak
“ Anak bulan Ramadan dan Syawal, kiranya tidak kelihatan kerana

terlindung oleh keadaan cuaca, pada hal mengikut kiraan falak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak boleh digunakan ”

     Majlis Raja-Raja ke-78 dalam tahun 1967
       
•      Hari Raya Aidil Adha adalah sehari selepas wukuf di Padang Arafah

     Bulan-bulan selainnya, berdasarkan kepada Ijtimak Wujudul Hilal
•        Bila ijtimak berlaku sebelum mh terbenam pada hari ke-29 dan bulan wujud atas ufuk


1978:
     Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah, di Instanbul, Turki
•        Bahawa asal hukum ialah rukyah, sama ada dengan mata kepala atau dengan menggunakan alat-alat moden,
•        Bahawa bagi menentukan kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti memenuhi DUA syarat utama iaitu:
•        Kedudukan matahari dan bulan waktu matahari jatuh tidak kurang dari 8°, . . .
•        Ketinggian anak bulan pada ketika matahari jatuh tidak kurang dari 5°.



1978 – 1983:
     Rukyah semata-mata


1984?:
     Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif:
•        Umur hilal pada ketika matahari masuk pada hari rukyah tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak.


1984 –  sekarang:
     Rukyah dan hisab falak
•        Pada 4 November 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya mengubahsuai Kriteria Imkanur-Rukyah
•        Ketika mh ghurub, ketinggian hilal > 2°, dan jarak lengkung bulan-mh > 3°   atau
•        Ketika hilal terbenam, umurnya > 8 jam
bagi penentuan 2 bulan utama (Ramadan & Syawal) dan kaedah Wujudul Hilal bagi bulan-bulan lain
        
•        Pada 1 Jun 1992, Pertemuan Tidak Resmi MABIMS di Labuan bersepakat untuk menerimapakai kriteria tersebut
         

•        Pada 16 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 bersetuju agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-Rukyah, iaitu pada 10 Zulhijjah
         
•        Sejak 1996, Mesyuarat JK Teknikal Kalendar Islam menetapkan penggunaan kaedah Imakanur-Rukyah bagi semua bulan



4.4    Penyediaan Takwim Islam Malaysia oleh JUPEM

Proses kerja dalam penyediaan Takwim Islam dengan menggunakan Buku Japanese Ephemeris adalah seperti berikut:

i.        Data-data mengenai ijtimak iaitu tarikh dan masa diperolehi dari jadual Phase Of The Moon, di dalam Buku Japanese Ephemeris.

ii.            Selepas siap menyediakan data di atas, hitungan pertama dijalankan

dengan memasukkan data-data seperti tarikh, waktu matahari dan bulan terbenam serta Sudut Istiwa (Declination), Jarak Hamal (Right Ascension) dan paralak (parallax) matahari dan bulan.

iii.           Selepas hitungan pertama siap dijalankan, hitungan kedua dilakukan dengan menggunakan program Rukyah 93.bagi mendapat nilai-nilai seperti waktu matahari dan bulan terbenam, altitud matahari dan bulan, azimut matahari dan bulan serta jarak lengkung antara pusat bulan dan matahari (elonggation).

iv.           Hitungan dan rumusan seterusnya dibuat secara manual untuk menentukan kedudukan hilal dan matahari bagi stesen kajian iaitu stesen paling timur dan paling barat Malaysia (Tg. Atiam, Sabah dan Tg. Chinchin, Kedah).






v.            Apabila selesai semua hitungan, hasilnya disemak dan Kriteria Imkanur Rukyah digunapakai. Sekiranya hasil (pada hari 29 setiap bulan Hijriah) memenuhi syarat Imkanur Rukyah, maka keesokan harinya adalah awal bulan baru. Sebaliknya jika ia tidak memenuhi syarat Imkanur Rukyah, maka bulan itu akan menjadi 30 hari.

vi.           Kalendar disediakan apabila selesai semakan dilakukan bagi tahun yang diperlukan.

vii.           Hasil kerja ini kemudiannya dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam bertempat di JAKIM, Pusat Islam Malaysia untuk semakan, perbandingan dan pengesahan.

viii.            Apabila keputusan atau katasetuju mutakhir diperolehi dari mesyuarat tersebut, edaran Kalendar Islam pun dibuat.






Hasil Hisab JUPEM Bagi Permulaan Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah 1431 H (2010 M)

Berikut disertakan hasil kiraan bagi kedudukan bulan dan matahari di lokasi paling barat Malaysia, iaitu Kampung Tanjung Chinchin, Langkawi. di Langkawi
.

Bagaimanapun, perlu dinyatakan disini bahawa ketetapan akhir bagi tarikh mula puasa dan raya akan dibuat melalui pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam hari merukyah hilal melalui media eletronik dan massa.

·           Hari Mula Puasa Bagi Tahun 2010 M (1 Ramadan 1431 H)

·       Tarikh 29 Syaaban 1431 H    =       10 Ogos 2010 M
·       Ijtimak berlaku                  =       10 Ogos 2010 M M jam 11.08 pagi
·       Bulan terbenam                  =       7.46 petang
·       Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) =     280° 29¢ 26²
·       Matahari terbenam             =       7.37 petang
·       Azimuth matahari ketika maghrib    =          285° 42¢ 00²

·       Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib    =        01° 43’
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib                                                                  =        05° 26
·                 Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam     =       08 jam 38 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah 1991 telah di penuhi, maka,
1 Ramadan 1431 H =    11 Ogos 2010 M (Rabu)

·           Hari Raya Aidil Fitri Bagi Tahun 2010 M (1 Syawal 1431 H)

·       Tarikh 29 Ramadan 1431 H   =       8 September 2010 M
·       Ijtimak berlaku                  =       8 September 2010 M jam 6.30 petang
·       Bulan terbenam                  =       7.13 petang
·       Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) =     271° 27¢ 09²
·       Matahari terbenam (maghrib) =      7.25 petang
·       Azimuth matahari ketika maghrib    =       275° 45¢ 44²

·       Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib    =       -03° 20’’
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib                                                                  =        05° 08’
·                 Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam     =       00 jam 44 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah 1991 tidak di penuhi, maka hari berikutnya menjadi 30 Ramadan 1431H
(09 September 2010 M). Oleh itu,
1 Syawal 1431 H = 10 September 2010 M (Jumaat)



·           Hari Raya Aidil Adha Bagi Tahun 2010 M (10 Zulhijjah 1431 H)

·       Tarikh 29 Zulkaedah 1431 H =       6 November 2010 M
·       Ijtimak berlaku                  =       6 November 2010 M jam 12.52 tgh
·       Bulan terbenam                  =       7.04 petang
·       Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) =     249° 11¢ 48²
·       Matahari terbenam (maghrib) =      7.01 petang
·       Azimuth matahari ketika maghrib    =       253° 58¢ 13²

·       Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib    =       00° 21’’
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib                                                                  =       04° 41’
·                 Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam     =       06 jam 12 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah 1991 tidak di penuhi, maka hari berikutnya menjadi 30 Zulkaedah 1431 H
(7 November 2010 M) dan 1 Zulhijjah 1431 H adalah bersamaan dengan
8 November 2010 M. Oleh itu,
10 Zulhijjah 1431 H = 17 November 2010 M (Rabu)



5.0    Isu Penetapan Tarikh Hari Raya Aidil Adha di Malaysia

Umum mengetahui bahawa polemik mengenai kaedah penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha bukanlah sesuatu perkara yang baru. Malah, ianya berlaku bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di lain-lain Negara. Secara amnya, amalan menyambut Hari Raya Aidil Adha terbahagi kepada dua cara.

·           Pertamanya, ia disambut sehari selepas hari Wukuf di Padang Arafah yang ditetapkan melalui pengisytiharan oleh pihak Arab Saudi. Dari tahun 1977 hingga 1995, amalan ini dipraktiskan di Malaysia. Antara pendapat yang menyokong kepada amalan ini termasuklah bahawa Hari Raya Aidil Adha pada asasnya adalah untuk jemaah yang sedang menunaikan fardhu Haji di Mekah dan oleh itu kita perlulah menyambut Hari Raya Aidil Adha secara serentak bersama-sama mereka.
atau,

·           Keduanya, ia disambut mengikut ketetapan tarikh 10 Zulhijjah yang dibuat melalui penentuan tarikh kebolehnampakan hilal Zulhijjah. Sebenarnya di Malaysia, praktis ini telah digunapakai sejak sekian lama sehingga tahun 1977. Kita mengamalkannya semula dalam tahun 1995 sehingga sekarang selepas melalui beberapa siri Muzakarah dan kajian. Ianya dibuat dengan berpegang kepada pendapat bahawa asas penetapan tarikh Hari Raya Aidil Adha tidak seharusnya berbeza dengan kaedah penetapan tarikh awal Ramadhan, Syawal serta bulan-bulan Hijriah yang lain dan hendaklah dibuat menggunakan asas yang sama, iaitu rukyah dan hisab.

o     Ibadat Haji telah difardhukan dalam tahun 6 Hijrah.

Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir.
Surah Al Hajj ayat 27-28

       Manakala, Hari Raya Aidil Adha telah mula disambut dalam tahun 1 Hijrah di Madinah.

‘ Dari Anas r.a. berkata: Setelah Rasulullah S.A.W. tiba di Madinah, di dapati bagi orang-orang Madinah ada dua hari mereka bermain-main. Maka Rasulullah S.A.W. bertanya Aapakah dua hari ini?, mereka menjawab Kami bermain-main pada dua hari tersebut pada zaman Jahiliah. Sabda Rasulullah S.A.W. Bahawa sesungguhnya Allah Taala telah menukarkan kepada kamu hari yang lebih baik daripada keduanya iaitu Hari Adha dan hari Fitri ’
Hadis

Ibadat Haji juga terikat dengan tempat dan masa, iaitu di Mekah dan sekitarnya. Sambutan Hari Raya Aidil Adha pula boleh disambut pada hari-hari tertentu tetapi tidak terikat dengan tempat. Oleh kerana tidak ada kaitan diantara ibadat Haji dengan sambutan Hari Raya Aidil Adha, maka boleh disimpulkan bahawa penetapan tarikh rayanya tidak seharusnya bergantung kepada pengisytiharan hari Wukuf. Dengan sebab itu, Hari Raya Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban, dan bukannya Hari Raya Haji bagi kita di luar Mekah.



o     Hubungan diantara pergerakan bulan dengan Taqwim Islam adalah jelas. Demikian menurut ayat di bawah:

‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui’     
Surah Yunus ayat 5-6

Allah menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hilal dan waktu berhaji:

‘Mereka itu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang bulan sabit katakanlah, bulan sabit itu tanda-tanda waktu bagi orang-orang puasa, raya puasa dan waktu-waktu ibadah dan berhaji’                                                     
                                    Surah Al-Baqarah ayat 189



Hadis Nabi juga menjelaskan tentang hari Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah:

‘Bahwa Rasulullah saw menyuruh seseorang buat menyerukan: “Haji itu ialah Arafah! Barangsiapa datang pada malam tanggal sepuluh sebelum fajar terbit, bererti ia telah mendapatkan Arafah”.’
                                                               
Hadis riwayat Ahmad dan Ashhabus Sunan dari Abdurrahman bin Ya’mur ( Fikih Sunnah )


o     Malaysia berada di timur Mekah dan terpisah dengan 5 Zon Waktu. Ini bermakna bahawa waktu di Malaysia mendahului waktu di Mekah sebanyak +5 jam. Dalam kata lain, jam 12.00 tengahari di Mekah adalah bersamaan dengan jam 5 petang di Malaysia. Sekiranya kita berpegang kepada kaedah penetapan Hari Raya Aidil Adha berdasarkan kepada sehari selepas Wukuf, maka akibat daripada perbezaan zon waktu ini, ibadat-ibadat seperti laungan takbir Raya, solat sunat Aidil Adha serta ibadat korban yang dilakukan di Malaysia sebenarnya telah mendahului ibadat-ibadat yang sama di Mekah.



o     Selain daripada perbezaan Zon Waktu, Malaysia dan Mekah juga terpisah dengan jarak sejauh 1700 km. Dalam era globalisasi dan internet seperti masakini, faktor geografi bukanlah satu isu besar. Bagaimanapun, sekiranya kita kembali semula kepada zaman 1,429 tahun dahulu, sementelah 200 tahun dahulu, keadaan tidak akan memungkinkan umat Islam untuk bertukar-tukar apa jua maklumat dengan pantas – keterbatasan teknologi, pengangkutan serta komunikasi. Oleh itu, persoalan timbul mengenai bagaimana pengetahuan mengenai tarikh hari Wukuf boleh disampaikan kepada semua umat Islam di segenap pelusok dunia untuk merayakan Aidil Adha sekiranya itulah tuntutan syarak. Ini tentulah menjadi masalah besar bagi umat Islam, malah mustahil untuk diikuti, melainkan tarikh raya tersebut ditetapkan dengan penentuan awal bulan Zulhijjah dan seterusnya 10 Zulhijjah. Oleh sebab itu, adalah tidak menjadi keterlaluan sekiranya dianggap bahawa kaedah penetapan Hari Raya Aidil Adha sehari selepas Wukuf bagi umat Islam di luar Tanah Arab adalah satu ‘fatwa’ baru yang direka dan yang tiada mempunyai apa-apa kaitan langsung dengan sunnah.

o     Perayaan Hari Raya Aidil Adha yang ditetapkan sehari selepas hari Wukuf supaya serentak dengan para jemaah Haji disifatkan sebagai melambangkan penyatuan Ummah. Sekiranya pendapat ini boleh dijadikan pegangan, maka mengapa tidak diperluaskan kepada ibadat solat untuk dilakukan secara serentak juga!

o     Penetapan tarikh Hari Raya Aidil Adha pada masa kini sudah tidak menjadi isu lagi dan ianya sudah lama selesai. Perkara ini telah pun dibincang serta dibahas dengan panjang lebar dan telah menjadi salah satu daripada resolusi Islamic Fiqh Academy yang diadakan dari 11 hingga 16 Oktober 1986 di Jordan. Resolusi ini telah membuat ketetapan dan
memutuskan agar semua negara Islam menentukan permulaan bulan hijriah termasuk Zulhijjah menggunakan asas yang sama bagi Aidil Fitri dan Aidil Adha.
o      

o     Pada 16 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang ke-167 telah bersidang dan bersetuju, antara lainnya, agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-Rukyah. Keputusan ini dicapai setelah ianya dibincang dan dibahaskan diperingkat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Pertemuan MABIMS, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya serta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Oleh itu, kita perlulah mengikut ketetapan awal puasa dan raya seperti mana yang dibuat oleh pihak pemerintah.

“ Hai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasulmu dan Ulil Amri di kalangan kamu ”
59 dalam Surah Al-Nisa


5.1    Kronologi Keputusan Penetapan Tarikh Hari Raya Aidil Adha

Secara ringkasnya, sejarah penetapan tarikh Hari Raya Aidil Adha di Malaysia adalah seperti berikut:

Sebelum 1977:
          Tarikh Hari Raya Aidil Adha ditentukan berdasarkan rukyah hilal bulan Zulhijjah



21-22.4.1977:
     Persidangan Fatwa Majlis Kebangsaan ke-13
·                      Malaysia menetapkan Hari Raya Aidil Adha berdasarkan hari Wukuf di Arafah, selaras dengan persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-78 pada 12 Oktober 1967



1-2.7.1985:
     Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-13
•        Membincangkan cadangan supaya kaedah penetapan Hari Raya Aidil Adha ditentukan berdasarkan rukyah hilal bulan Zulhijjah
•        Bagaimanapun, cadangan tidak diterima

14-15.3.1991:
     Mesyuarat MABIMS di Kuala Lumpur
·                      Membuat keputusan bahawa langkah-langkah pelaksanaan perlulah diambil oleh negara-negara anggota untuk mencari kemungkinan menyelaraskan Penentuan Hari Raya Idul Adha


6-10.9.1991
:
Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Pertemuan MABIMS Pertama di Pulau Pinang
·                      Bersetuju mengadakan penyelarasan rukyah antara negara-negara anggota bagi penentuan awal Ramadhan, Syawal dan awal Zulhijjah

4.11.1991:
Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya di Pusat Islam Kuala Lumpur
•        Jawatankuasa Farwa Majlis Kebangsaan hendaklah mengkaji semula kaedah penetapan 10 Zulhijjah mengikut matlak

20.11.1991:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-28
•        Kriteria kebolehnampakan (Imkanur Rukyah) anak bulan bagi bulan Hijrah bagi menetapkan awal Zulhijjah perlu diseragamkan dengan criteria penetapan awal puasa dan Hari Raya Puasa



16.6.1994:
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167
•        Bersetuju agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-Rukyah
         
10.5.1995:

Malaysia bersama-sama dengan negara-negara anggota MABIMS mula menyambut Hari Raya Aidil Adha berdasarkan penentuan awal bulan Zulhijjah, iaitu pada 10 Zulhijjah



6.0    Penutup

Di dalam era teknologi dan komunikasi yang semakin canggih, keperluan bagi umat Islam untuk merancang dan melaksanakan segala aktiviti-aktiviti keagamaan dan sosial semakin meningkat. Dari perlakuan ibadat-ibadat keagamaan dan kebudayaan, tugasan harian dan prestasi pencapaian di tempat kerja, sasaran Wawasan 2020, sambutan hari-hari perayaan, aktiviti pertanian, hari gaji sehinggalah kepada penetapan tarikh pilihanraya, hari perkahwinan, hari perpindahan ke kediaman baru dan sebagainya, kita tidak dapat memikirkan

kehidupan tanpa takwim. Kebergantungan manusia yang tinggi kepada Takwim tidak dapat dinafi dan dielakkan lagi.

Oleh itu, usaha-usaha perlulah dilakukan untuk memertabatkan semula penggunaan Takwim Islam didalam segala urusan kehidupan kita. Apabila usaha-usaha ini terlaksana dan kefahaman serta keyakinan kepadanya ditingkatkan, ianya akan menghilangkan sebarang kesangsian dan perasaan was-was didalam penggunaannya. Sekaligus, maka keseragaman di dalam sambutan hari-hari kebesaran Islam akan tercapai.