Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-kali mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap qiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu kearah Masjid al-Haram (Ka’bah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Sesungguhnya orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab mengetahui bahawa perkara itu(permindahan qiblat ke Ka’bah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka. Allah sekali-kali tidak lalai akan apa yang mereka lakukan.
(Surah Al-Baqarah ayat 144 )
Arah kiblat ialah arah ke Kaabah yang terletak di Masjidil Haram, Mekah daripada lokasi tempatan melalui satu garisan lengkung di atas permukaan bumi mengikut jarak terdekat.
Setiap tahun terdapat dua hari yang mana umat Islam di serata muka bumi (bagi negeri-negeri yang nilai latitudnya kurang daripada nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°) dapat membuat semakan arah kiblat. Semakan ini dinamakan 'Semakan arah kiblat melalui kaedah Istiwa' utama matahari di Ka'abah'
Untuk makluman, arah kiblat yang tepat boleh diperolehi apabila berlaku peristiwa istiwa' utama matahari di Kaabah'. Istiwa utama (istiwa a'dzam) adalah satu keadaan di mana matahari akan berada tepat di titik zenith (ghayah) ketika istiwa'.
Menurut hisab, peristiwa istiwa' matahari di atas Kaabah akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia (12.16 tengahari waktu Mekah) dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang (12.28 tengahari waktu Mekah).
Apabila istiwa' utama matahari berlaku, bayang objek tegak di tempat lain akan menunjukan arah ke Ka'abah. Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat di tempat-tempat lain di muka bumi.
(Sumber : Jabatan Mufti Negeri Selangor)
(Sumber : Jabatan Mufti Negeri Selangor)